Masthead Detail Page
KTPH: Pengurusan Berat Badan
Overview

Pengurusan berat badan adalah perjalanan peribadi yang melibatkan aspek fizikal dan psikologi. Ramai orang memahami perubahan yang perlu dilakukan, tetapi mendapati sukar untuk mengekalkan motivasi dan melaksanakan perubahan gaya hidup yang berpanjangan. Panduan ini menyediakan strategi berdasarkan bukti untuk menyokong perjalanan anda.
 

Langkah 1: Kenal Pasti Motivasi Peribadi Anda. Mengapa Anda Ingin Mengurus Berat Badan?

Mulakan dengan mengenal pasti sebab khusus dan peribadi anda untuk menurunkan berat badan dan memperbaiki kesihatan. Tuliskan sebab-sebab ini dan rujuk semula apabila motivasi anda berkurangan.

Contoh motivasi bermakna:

  • Meningkatkan keyakinan dalam situasi sosial.
  • Mengekalkan kemandirian apabila usia meningkat.
  • Mengurangkan risiko komplikasi kesihatan.
  • Meningkatkan mobiliti untuk bergerak dengan selesa.
  • Meningkatkan tenaga untuk berinteraksi dengan keluarga dan rakan-rakan.
  • Memperbaiki kualiti tidur dan keselesaan harian.
     

Langkah 2: Tetapkan Matlamat SMART untuk Perubahan Berterusan

SMART: 
Specific (Spesifik)
Measurable (Boleh Diukur)
Achievable (Boleh Dicapai)
Realistic (Realistik)
Timely (Mempunyai Tempoh Masa)

Fokus pada perubahan gaya hidup yang berterusan berbanding kitaran turun naik berat badan yang tidak menentu. Fokus pada 1-3 matlamat pada satu masa (mengelakkan rasa terbeban dan meningkatkan peluang kejayaan anda!). Ingat bahawa tabiat mengambil masa untuk terbentuk, jadi bersabarlah dengan diri sendiri semasa citarasa dan keutamaan anda berubah secara beransur-ansur melalui perubahan kecil yang konsisten.

Kerangka Matlamat SMART:

  • Spesifik & Boleh Diukur – Apa yang anda akan lakukan? Bagaimana anda akan menjejaki kemajuan?
    • Contoh: "Berjalan selama 30 minit, 5 hari seminggu."
  • Boleh Dicapai & Realistik – Adakah matlamat ini sesuai dengan gaya hidup semasa anda?
    • Contoh: "Masak makan malam di rumah 4 malam seminggu daripada memesan makanan luar."
  • Mempunyai Tempoh Masa – Bila anda merancang untuk memulakan perubahan ini? Tetapkan tarikh tertentu dalam minggu berikutnya.

Tanya diri anda: “Sejauh mana keyakinan saya untuk mencapai matlamat ini pada skala 1-10?” Jika anda memberi skor di bawah 7, bagaimana anda boleh menyederhanakan matlamat atau menjadikannya lebih mudah untuk dicapai?
 

Langkah 3: Pantau Kemajuan Anda dengan Berhati-hati

Pemantauan Kendiri yang Kerap
Tahukah anda? Orang yang menimbang berat badan secara berkala cenderung untuk menurunkan berat badan lebih banyak. Ini membantu memotivasikan anda apabila melihat usaha anda berhasil, serta mengenal pasti pola, pencetus, atau situasi yang mungkin menghalang kemajuan anda.

Petua:

  • Gunakan penimbang yang sama pada waktu yang sama setiap hari (sebaik-baiknya pagi, selepas menggunakan tandas).
  • Pilih kekerapan yang tidak menyebabkan tekanan berlebihan (harian, mingguan, atau dua minggu sekali).
  • Jangkakan turun naik semula jadi 1-2 kg disebabkan oleh penahanan cecair, hormon, dan pengambilan makanan.
  • Fokus pada trend dalam 2-4 minggu dan bukannya perubahan harian.

Penting: Jika menimbang berat badan anda menyebabkan kebimbangan atau mencetuskan tingkah laku yang tidak sihat, berbincang dengan pembekal penjagaan kesihatan anda mengenai kaedah pemantauan alternatif.
 

Langkah 4: Cabar Corak Pemikiran yang Tidak Membantu

Pemikiran Tidak Membantu dan Alternatif yang Seimbang: Pemikiran-pemikiran ini adalah corak pemikiran yang tidak membantu dan boleh menjejaskan usaha pengurusan berat badan kita. Dengan mengenal pasti dan mencabar pemikiran-pemikiran ini dengan alternatif yang lebih seimbang, kita dapat kekal bermotivasi dan mengekalkan kemajuan.

  • Pemikiran "Semua atau Tiada": “Sama ada diet saya sempurna atau saya telah gagal.”
    • Alternatif: “Adalah normal untuk mengalami naik turun dalam proses ini. Saya tidak perlu menyekat diri sepenuhnya.”
  • Melompat ke Kesimpulan: “Berat badan saya tidak berkurangan minggu ini; mustahil untuk menurunkan berat badan.”
    • Alternatif: “Penurunan berat badan tidak berlaku setiap minggu walaupun dengan diet yang sama.”
  • Peraturan Tidak Membantu: “Saya tidak sepatutnya membazirkan makanan.”
    • Alternatif: “Saya boleh menyimpan baki makanan untuk kemudian atau membuat kompos sisa makanan. Badan saya bukan tong sampah.”
       

Langkah 5: Fahami Fungsi Makan

Kita sering makan berlebihan bukan kerana lapar secara fizikal, tetapi disebabkan oleh faktor persekitaran dan emosi. Adakah anda mengenal pasti mana-mana yang berkaitan dengan anda?

TENAGA SEMULA Makan untuk kekal berjaga atau mendapatkan semula tenaga.

Cadangan: Tidur sebentar, berjalan kaki singkat, atau melakukan regangan ringan sebagai alternatif.

TEKANAN Makan untuk berasa lebih baik secara emosi atau mengalami peningkatan selera makan/keinginan apabila menghadapi tekanan kronik.

Cadangan: Cari alternatif bukan makanan untuk menenangkan diri, belajar menetapkan sempadan dengan orang lain atau mengurus jangkaan diri sendiri.

KEBOSANAN Makan ketika bosan atau sebagai cara untuk mengisi masa. Contoh: hujung minggu, kerja syif malam.

Cadangan: Rancang aktiviti bermakna secara sengaja untuk mengisi masa anda pada waktu-waktu ini, elakkan menyimpan makanan ringan.

KESERONOKAN Makan sebagai bentuk keseronokan, ganjaran diri, atau hobi.

Cadangan: Amalkan hobi baru yang tidak berkaitan dengan makanan (seperti mengait), pilihan makanan yang lebih sihat yang anda gemari, cuba ganjaran alternatif (filem, urutan).

TABIAT Makan semata-mata kerana tabiat apabila anda tidak lapar atau sudah kenyang.

Cadangan: Amalkan pemakanan secara sedar dan berhenti makan apabila anda sudah 80% kenyang.

SOSIAL Makan lebih banyak dalam situasi sosial akibat tekanan sosial, memesan berlebihan, atau terganggu perhatian.

Cadangan: Rancang aktiviti sosial yang tidak berkaitan dengan makanan (permainan, acara budaya, sukan), minta sokongan sosial untuk membantu anda bertanggungjawab (agar tidak memesan berlebihan).
 

Langkah 6: Ubah Perspektif Aktiviti Fizikal — Dari Kewajipan kepada Penjagaan Diri

Sesetengah daripada kita mungkin membesar dengan mengaitkan senaman sebagai bebanan, manakala yang lain mungkin telah dibentuk oleh pengalaman negatif masa lalu — seperti kecederaan, kesakitan, atau perjuangan imej badan — yang menjadikan pergerakan terasa sukar atau tidak menyenangkan. Bagaimana kita boleh mengubah minda kita untuk melihatnya sebagai penjagaan diri yang menyeronokkan, masa sosial, atau pencapaian peribadi?

Menjadikan Pergerakan Menyeronokkan: 

  • Jadikan senaman sebagai masa untuk diri sendiri dengan menggabungkannya dengan sesuatu yang anda gemari. Contoh: membuat senarai lagu untuk bersenam, menonton rancangan kegemaran anda semasa berjalan di atas treadmill
  • Sertai kelas kecergasan atau cari rakan bersenam untuk menjadikan senaman sebagai aktiviti sosial
  • Jejaki peningkatan dalam kekuatan, daya tahan, atau mood dan bukan hanya berat badan
  • Jika masa menjadi masalah, gabungkan senaman ke dalam rutin harian anda, contoh: berjalan pulang dari stesen MRT berbanding menaiki bas, menaiki tangga berbanding lif
  • Mulakan dengan kecil (10-15 minit) setiap hari dan tingkatkan secara beransur-ansur 

Ingat: Sebarang pergerakan adalah lebih baik daripada tiada. Pilih aktiviti yang anda benar-benar gemari atau boleh belajar untuk gemari.
 

Langkah 7: Utamakan Kualiti Tidur — Hubungan Tidur dan Berat Badan

Kualiti tidur yang kurang baik atau tidak mencukupi boleh menjadikan pengurusan berat badan lebih mencabar bagi sesetengah orang, kerana ia mempengaruhi hormon yang mengawal rasa lapar dan kenyang serta dikaitkan dengan penambahan berat badan akibat perubahan hormon yang meningkatkan selera makan.

Cadangan Kebersihan Tidur:

  • Tidur dan bangun pada waktu yang sama setiap hari
  • Elakkan tidur siang
  • Elakkan alcohol dan kafein sebelum tidur
  • Tetapkan ritual untuk berehat dan bersantai
  • Tidur yang disyorkan: 7-8 jam
  • Pastikan bilik tidur sejuk (18-20°C), gelap, dan sunyi

Bila Perlu Mendapatkan Bantuan: Bagi sesetengah orang, tidur yang kurang baik adalah isu klinikal yang melampaui tabiat dan rutin. Jika tabiat tidur yang baik tidak membantu, ia mungkin menunjukkan gangguan tidur seperti insomnia atau apnea tidur. Pertimbangkan untuk berjumpa doktor atau profesional kesihatan mental bagi menolak sebarang keadaan yang mendasari.
 

Langkah 8: Kekalkan Kejayaan Jangka Panjang — Mengekalkan Kemajuan Anda: 

  • Teruskan tabiat menimbang berat badan sendiri
  • Kenal pasti situasi berisiko tinggi (cuti, tekanan kerja, acara sosial) dan cipta pelan tindakan khusus Lihat kemunduran sementara sebagai peluang pembelajaran, bukan kegagalan
  • Raikan kejayaan bukan berdasarkan skala (peningkatan tenaga, tidur lebih baik, peningkatan kekuatan)
  • Bina rangkaian sokongan daripada keluarga, rakan-rakan, atau kumpulan sokongan
     

Untuk Penjaga dan Ahli Keluarga

Cara Menyokong Orang Yang Anda Sayangi: 

  • Tawarkan untuk menyertai aktiviti sihat bersama (memasak, berjalan kaki, merancang hidangan)
  • Berikan galakan untuk usaha dan kemajuan, bukan hanya penurunan berat badan Hormati pendekatan dan jadual yang mereka pilih
  • Bantu cipta persekitaran rumah yang menyokong (simpan makanan sihat, kurangkan makanan ringan yang menggoda)
  • Dengar tanpa menghakimi apabila mereka berkongsi cabaran

Elakkan:

  • Membuat komen tentang pilihan makanan atau saiz hidangan mereka Menggunakan rasa malu atau rasa bersalah sebagai motivasi
  • Membandingkan kemajuan mereka dengan orang lain
  • Menawarkan makanan sebagai keselesaan atau ganjaran
  • Menganggap perubahan mood mereka sebagai sesuatu yang ditujukan secara peribadi semasa tempoh penyesuaian.
     

Bila Perlu Mendapatkan Sokongkan Tambahan

Pengurusan berat badan memang sukar, dan adalah perkara biasa untuk mengalami perjuangan emosi sepanjang perjalanan — termasuk perasaan malu, rasa bersalah, atau menyalahkan diri sendiri. Pengalaman-pengalaman ini bukan cerminan watak atau nilai diri anda, dan bukan tanda kemalasan atau kekurangan kemahuan. Jika mana-mana perkara berikut berkaitan dengan anda, pertimbangkan untuk berjumpa profesional penjagaan kesihatan:

  • Perasaan malu atau rasa bersalah yang berterusan tentang pemakanan
  • Corak sekatan melampau atau makan berlebihan
  • Perubahan mood yang ketara berkaitan berat badan atau makanan
  • Gejala fizikal semasa penurunan berat badan
  • Kesukaran mengekalkan motivasi walaupun telah mencuba strategi-strategi ini

Ingat: Pengurusan berat badan adalah maraton, bukan pecut. Fokus pada membina tabiat yang mampan yang meningkatkan kesihatan keseluruhan dan kualiti hidup anda, berbanding mengejar penurunan berat badan yang pesat yang mungkin sukar untuk dikekalkan.

Jika anda berminat untuk berjumpa dengan ahli psikologi kami sebagai sebahagian daripada program pengurusan berat badan anda, anda boleh memintanya daripada doctor anda!

This article was published by Khoo Teck Puat Hospital and updated in 2026.