
Apakah BCG?
Bacillus Calmette-Guerin (BCG) adalah bakteria yang dilemahkan yang disuntik ke dalam pundi kencing. Ia akan mengaktifkan sistem imun untuk mengurangkan risiko barah pundi kencing daripada berulang.
Mengapakah anda memerlukan BCG Intravesikal?
Anda telah didiagnos menghidap barah pundi kencing yang mempunyai risiko tinggi untuk berulang.
BCG diberikan seminggu sekali sebagai prosedur induksi selama 6 minggu dan diikuti dengan prosedur penyelenggaraan selepas itu. Sebelum memulakan dan semasa prosedur penyelenggaraan BCG, sistoskopi akan dijalankan secara berkala untuk mengesan tumor berulang. Bilangan sesi penyelenggaraan optimum akan ditentukan oleh doktor yang mengendalikannya.
Bagaimanakah prosedur dijalankan?
BCG dimasukkan terus ke dalam pundi kencing melalui kateter kencing.
Sekiranya terdapat jangkitan air kencing, pemberian BCG akan ditangguhkan sehingga jangkitan air kencing dirawat dengan secukupnya.
Anda seharusnya menahan ubat selama 2 jam sebelum membuang air kecil. Sila maklumkan kepada jururawat sebelum anda membuang air kecil kerana ubat tersebut perlu dibuang di tandas yang ditetapkan.
Adakah terdapat sebarang risiko yang terlibat?
Anda mungkin mengalami simptom-simptom seperti:
• Peningkatan rasa hendak membuang air kecil
• Peningkatan kekerapan membuang air kecil
• Mengalami rasa kepedihan sewaktu membuang air kecil
• Kencing berdarah
BCG jarang sekali boleh terserap ke dalam badan dan membawa kepada jangkitan serius serta memerlukan kemasukan ke hospital untuk rawatan.
Nasihat selepas prosedur
Anda akan dapat pulang ke rumah dan meneruskan kegiatan anda selepas rawatan.
Seorang jururawat akan menghubungi anda pada hari bekerja yang berikutnya untuk memeriksa simptom-simptom anda.
Jadual Rawatan
Masa | Prosedur |
|---|---|
Minggu 1 - 6 | Induksi BCG mingguan |
Bulan ke-3 | Sistoskopi |
Bulan ke-6 | Sistoskopi |
Bulan ke-12 | Sistoskopi |
Bulan ke-18 | Sistoskopi |
Bulan ke-24 | Sistoskopi |
Bulan ke-30 | Sistoskopi |
Bulan ke-36 | Sistoskopi |
Sekiranya tumor berulang dikesan semasa sistoskopi, anda akan dinasihatkan untuk menjalani pembedahan.
Persediaan untuk BCG intravesikal
• Berhenti minum sebarang cecair sekurang-kurangnya 2 jam sebelum prosedur yang dijadualkan
• Sila maklumkan kepada klinik sekiranya anda mengalami mana-mana simptom berikut yang mungkin menyebabkan anda tidak sesuai untuk meneruskan prosedur dan memerlukan penangguhan:
» Demam dan/atau menggigil
» Darah dalam air kencing
» Sakit dan/atau sensasi rasa terbakar semasa membuang air kecil
» Kekerapan membuang air kecil
» Sukar membuang air kecil
Hari Prosedur BCG intravesikal
• Sila luangkan sekurang-kurangnya 4 jam untuk prosedur
• Sila tepati masa janji temu anda
• Peringatan untuk mengosongkan pundi kencing anda sebelum memulakan rawatan
Bila masanya perlu untuk mendapatkan rawatan perubatan:
• Demam tinggi (≥38°C)
• Menggigil secara berterusan
• Kelihatan darah beku dalam air kencing
• Kesukaran membuang air kecil
Nasihat perubatan
Sila hubungi Pusat Perhubungan Pelanggan kami di 6555 8828 pada waktu pejabat untuk temu janji awal bagi kembali ke Klinik Urologi. Untuk sebarang kecemasan selepas waktu pejabat, sila terus ke Jabatan Kecemasan (A&E) di KTPH.
URO.PE.16M.0225

